As-salam`alaykum dan Salam Sejahtera. Salam perkenalan daripada saya. Insyallah blog ini didedikasikan untuk Analisis Air dan Air Buangan (efluen). Ia selari dengan pengajaran di makmal bagi subjek Amali Kejuruteraan Alam Sekitar atau bahasa Inggerisnya Environmental Engineering Lab. Ia juga subjek lanjutan Environmental Engineering yang diajar oleh pensyarah di dewan kuliah. Dan saya sebagai Jurutera Pengajar (akan dikenali sebagai JP selepas ini) akan berusaha sedaya upaya untuk melatih para pelajar dari segi teknik dan praktikal serta sedikit teori (jika bersangkutan). Subjek ini amnya diajar bagi pelajar tahun 3 dan tahun 4.
Adalah penting untuk menganalisis air dan air buangan memandangkan ianya amat dekat dengan aktiviti manusia baik dalam aktiviti harian mahupun industri. Amnya, air sungai adalah sumber utama untuk kegunaan harian selain air tasek dan air bawah tanah (ground water). Air turut digunakan dalam industri kerana sesuai dengan sifatnya yang mampu menampung haba dan pelarut universal.
Setiap tahun, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengeluarkan laporan berkenaan kualiti air di seluruh Malaysia. Antara sumber air yang dipantau ialah air sungai, air bawah tanah dan air laut dan sekitarnya. Kualiti air tersebut dinilai berdasarkan Indeks Kualiti Air, Panduan Kebangsaan Kualiti Air bagi Air Minuman Mentah dan Piawai Kualiti Air Laut Interim.
Secara umumnya, air buangan pula dikategorikan sebagai air buangan industri dan sewage. Air buangan daripada rumah-rumah, bangunan komersial dan industri biasanya disalurkan ke dalam sistem pembentungan (sewage system). Lazimnya sebelum dibuang, ia perlu melalui proses rawatan air terlebih dahulu.
Di Malaysia, akta yang bersangkutan dengan kualiti air buangan ialah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974-Kualiti Alam Sekitar (Efluen Sewage dan Industri) Peraturan 1979 (Peraturan 8(1), 8(2), 8(3). Akta ini membahagikan had bahan pencemar (pollutant) air buangan kepada piawai A dan piawai B. Terdapat dua puluh tiga parameter yang disenaraikan termasuk sifat fizikal, kandungan bahan organik dan inorganik, logam berat serta minyak dan gris. Secara ringkasnya efluen (yang telah dirawat) yang dilepaskan ke hulu sungai (upstream) perlu menepati piawai A dan efluen yang dilepaskan di hilir sungai (downstream) perlu menepati piawai B.
Insyallah, di sini JP akan merujuk kepada beberapa buah buku rujukan atau artikel-artikel yang bersesuaian sebagai intipati blog ini. Antara rujukan yang menjadi pilihan ialah:
1-Standard Methods for the Examination of Water and Wastewater. 2005. Edisi ke-21. Terbitan bersama APHA, AWWA dan WEF.
2-Fundamentals of Environmental Sampling and Analysis. Tahun 2007 yang ditulis oleh Chunlong (Carl) Zhang terbitan John Wiley & Sons.
3-Environmental Engineering oleh Howard S. Peavy dan rakan-rakan. 1985. McGraw-Hill.
4-Program HACH.
JP akan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya melainkan jika terdapat perkataan-perkataan tertentu yang terpaksa dikekalkan dalam bahasa asal buku-buku tersebut.
Akhir kata, semoga blog ini mampu membantu pelajar dan JP sendiri untuk meneroka kepentingan Analisis Air dan Air Buangan.